::bercinta sampai syurga::

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers Ops...minus 1 year =)

::our little sweetheart::

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Thursday, December 17, 2009

:Lawatan SMAIQ 1209::

::Islamic International School::

:: Science Show 2009 ::

:: Volunteer student of SMAIQ 2009 during the show ::


:: erm... seronoknya dia ::

:: Muzium Negara ::

Friday, December 4, 2009

::Haji yang terkorban::


Kredit buat penulis... Alhamdulillah, setelah bercuti selama 4 hari di kg halaman...selamat menjejakkan kaki kembali ke bumi penang... Tima kasih mak,nasi dagang yang sedap tetap ada walau k.huda smpai pg raya kedua. Raya pertama korban di masjid usm bersama ukhti Adila n ukhti Iman... menu pagi raya kita sgt special, comfirm tak kan dapat kalau p raya kat mana2... kueh teaw kungfu + nutgget + fish cake... Tima kasih kak iman =). Alkisahnya, tiket habis sbb lmbat p bli. Walau apapun... walau dimana jua kita berada, lakukanlah sebaik mungkin. ya mungkin kita tidak menyukai sesuatu itu, tapi sebenarnya ia baik utk kita... dan mungkin juga kita begitu menyukai sesuatu itu, tapi sebenranya ianya tidak baik untuk kita... syukurlah dengan begitu banyak kurniaan yang kita ada...belum terlambat untuk huda n keluarga mengucapkan SALAM AIDIL ADHA 1430H buat semua =).

Oleh 'Izzat Anwari bin Hasni


Apabila tiba bulan Dhū al-Ḥijjah (ذوالحجّة) setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia akan berusaha menyediakan wang untuk mengambil bahagian dalam ibadah korban yang dilakukan di tempat masing-masing. Malah, perayaan ini cukup meriah apabila sanak-saudara pulang ke kampung halaman masing-masing sambil bertanya khabar sesama sendiri sewaktu menjamu selera hidangan berasaskan daging di atas meja. Suasana ini bertambah meriah jika salah seorang saudara terdekat yang sedang menunaikan haji di Masjid al-Haram sambil memasang 3G pada telefon bimbit bagi tontonan saudaranya di Malaysia secara langsung.

Perayaan ‘Īdu al-’Aḍḥā (عيدالأضحى) yang sepatutnya disambut dengan penuh rasa keinsafan dan kesyukuran, kini diselubungi dengan keseronokan dan gelak tawa sanak-saudara. Ma‘na ibadah haji dalam diri setiap muslim kini terkorban akibat terputusnya al-Qur’ān dan al-Sunnah dalam dada-dada umat Islam secara halus.

Maqāṣid al-Ḥajj (مقاصد الحجّ)

Seringkali kita berbicara soal Fiqh Ibadah dalam bab haji sehingga ‘terlupa’ akan tujuan ibadah haji yang secara jelas diterangkan di dalam al-Qur’ān dan al-Sunnah. Kehilangan ma‘na dalam ibadah sebeginilah yang menyebabkan orang Islam hari ini menjadi jasad tanpa ruh, dan masyarakat Islam menjadi bangunan tanpa isinya. Perkara ini cukup jelas sekiranya diambil contoh ibadah solat seperti dalam firmanNya:

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) suka mengeluh;


Apabila ia ditimpa kesusahan, dia berkeluh kesah;

Dan apabila ia mendapat kesenangan, dia sangat bakhil (kedekut);

Kecuali orang-orang yang mendirikan solat;

Iaitu mereka yang tetap setia mendirikan solatnya.”
[QS al-Ma‘ārij 70:19-23]

Dalam ayat di atas, Allah SWT secara jelas memberi petunjuk puncak kebahagiaan dalam ibadah solat. Ketika keadaan kekurangan atau berlebihan, bagi seseorang muslim yang menghayati ma‘na solat, tiada rasa kesempitan walaupun sedikit kerana muslim tersebut meletakkan Allah SWT sebagai sandaran mutlak.

Begitu juga dengan ibadah haji. Keterujaan para jemaah haji dalam menunaikan rukun Islam yang kelima ini sehingga hilangnya penghayatan terhadap setiap amalan haji memungkinkan kesan hakiki ibadah haji tidak meresap masuk ke dalam jiwa mereka. Keadaan ini amat merugikan para jemaah haji yang melabur harta dan tenaga dalam menunaikan ibadah haji, sehingga kesannya seperti mencurah air ke daun keladi.


Antara Dua Pencarian

Allah SWT berfirman di dalam KitabNya:
“Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada syi‘ar (lambang agama) Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat haji ke BaituLlah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersa‘i (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya; dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri (memberi balasan pahala, memaafkan kesalahan, menambah nikmat, dan sebagainya), lagi Maha Mengetahui.” [QS al-Baqarah 2:158]

Di dalam ayat di atas, Allah SWT meletakkan Bukit al-Ṣafā (الصفا) dan Bukit al-Marwah (المروة) sebagai syi‘ar-syi‘arNya dan menjamin tiada dosa bagi mereka yang mengerjakan sa‘ī (سعى) iaitu berlari-lari anak di antara keduanya.

Perkara ini sinonim dengan peristiwa ketika Siti Hajar berlari-lari di antara kedua bukit tersebut bagi mencari air untuk anaknya, Nabi Ismail. Ketika Siti Hajar dan Nabi Ismail yang masih kecil ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim bagi menyahut seruan da‘wah, bekalan air yang disimpan oleh Siti Hajar kehabisan. Maka, berlari-larilah Siti Hajar di antara dua bukit tersebut bagi mencari minuman buat anaknya yang menangis akibat terlalu dahaga di tengah-tengah padang pasir yang tandus.

Setelah tujuh kali berlari di antara kedua bukit tersebut, tiba-tiba air terpancar dari tanah tempat di mana Nabi Ismail menangis. Inilah pemberian Allah SWT kepada Siti Hajar dan Nabi Ismail yang sehingga hari ini masih mengalir walaupun diminum dan digunakan oleh berjuta-juta jemaah haji saban tahun!

Allah SWT secara jelas merakamkan peristiwa ini bagi memberi pedoman kepada semua umat Islam sehingga ke Hari Kiamat. Tatkala Nabi Ibrahim meninggalkan isteri dan anaknya bagi menyahut perintah Allah SWT untuk berda‘wah, Siti Hajar dan Nabi Ismail sama sekali tidak ditinggalkan berdua sahaja di tengah-tengah padang yang tiada sebarang punca rezeki, tetapi mereka berdua dijaga oleh Allah SWT! Inilah janji Allah SWT kepada para penda‘wah di luar sana yang tiada putus berda‘wah di jalanNya.

Ketika Siti Hajar berlari-lari mencari air untuk puteranya, dengan izin Allah SWT air terpancut keluar dari tanah di bawah kaki Nabi Ismail. Ini menunjukkan bahawa usaha yang bersungguh-sungguh berserta doa kepada Allah SWT diperlukan bagi mencapai segala sesuatu, dan dengan izin Allah SWT, rezeki akan tiba kepada hambaNya dari punca yang tidak disangka-sangka.

Benar sekali usaha yang bersungguh-sungguh di samping doa kepadaNya adalah syi‘ar-syi‘ar Allah SWT, dan Allah SWT sama sekali tidak memberi dosa kepada hamba-hambaNya yang berusaha mencapai sesuatu hajat selagi menurut garis panduan dari al-Qur’ān dan al-Sunnah.

Korban Cinta

Ketika Nabi Ibrahim ketiadaan anak, baginda berdoa kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan:
“Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku (anak) yang termasuk dari orang-orang yang soleh!” [QS al-Ṣāffāt 37:100]

Maka, Allah SWT mengurniakan baginda seorang putera dengan lahirnya Nabi Ismail:

“Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan dengan (kelahiran) seorang anak yang penyabar (Nabi Ismail).” [QS al-Ṣāffāt 37:101]

Namun kegembiraan Nabi Ibrahim tidak lama akibat seruan da‘wah oleh Allah SWT kepada baginda. Lalu baginda meninggalkan isteri dan putera baginda yang masih kecil di tengah-tengah padang yang tandus bersama-sama doa baginda.

Setelah beberapa tahun kemudian, pulang Nabi Ibrahim ke pangkuan keluarganya, tetapi sekali lagi Allah SWT menguji baginda seperti mana firmanNya:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, (Nabi Ibrahim) berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” (Anaknya) menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; dengan izin Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.

Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan dia (Nabi Ibrahim) merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami),

Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!

Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi itu.” Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.” [QS al-Ṣāffāt 37:102-105]

Ujian ini terlalu berat bagi Nabi Ibrahim yang merupakan bapa kandung Nabi Ismail di samping masa yang begitu singkat bagi baginda sebelum mengenali puteranya yang ditinggal sekian lama. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya (perintah) ini adalah satu ujian yang nyata.” [QS al-Ṣāffāt 37:106]

Ketika hendak menyembelih Nabi Ismail, Nabi Ibrahim mula sedar bahawanya puteranya itu kurniaan Allah SWT atas permintaan baginda sendiri, maka baginda tiada hak jika Allah SWT sendiri menginginkan kembali nyawa Nabi Ismail yang dikurniakanNya. Saat Nabi Ibrahim menyembelih puteranya, Allah SWT menggantikan Nabi Ismail dengan seekor qibas. FirmanNya:

“Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor (binatang) sembelihan yang besar.” [QS al-Ṣāffāt 37:107]

Simbolik penyembelihan ini diabadikan dalam upacara korban yang dilakukan diseluruh dunia. Nabi Ibrahim bukanlah menyembelih Nabi Ismail ataupun qibas, tetapi baginda menyembelih cinta dunia – kecintaan baginda terhadap kurniaan Allah SWT!


Pasti dan pasti, Allah SWT inginkan cinta hamba-hambaNya kepadaNya lebih tinggi daripada cinta hamba-hambaNya kepada segala isi dunia ciptaanNya.

Mekah Kini

Hari ini suasana haji menjadi seolah-olah bertentangan dengan ajaran asas Islam itu sendiri. Jabal Omar Development yang diamanahkan untuk membangunkan Masjid al-Haram memperuntukkan $3.3 billion bagi merealisasikan impian kerajaan Arab Saudi, namun mengalami kesulitan dalam mencari dana yang sebegitu besar.

Umum beranggapan Mekah bakal menjadi sebuah tempat ibadat yang cukup hebat dan gah di mata masyarakat yang beragama lain sehingga kebanggaan itu menjadi salah satu faktor kepesatan sektor pelaburan di Mekah dan kawasan-kawasan sekitarnya. Anggapan sebeginilah yang melemahkan jiwa dan minda umat Islam di seluruh dunia sehingga kesan serangan Barat terhadap dunia Islam dipandang sebelah mata – akibat penyakit al-Waḥn (الوحن) di dalam hati umat Islam.

Tidak cukup dengan itu, Putera Saudi, Khaled al-Faisal di dalam sebuah pertemuan dengan wakil PBB pada bulan Ogos yang lalu, menyatakan bahawa Mekah akan dibangunkan menjadi bandar termaju dan tercantik di dunia. Pembangunan sebegini juga akan dilakukan kepada Madinah dan Mina bagi menyamaratakan tahap pembangunan seperti di Mekah.

Sekali lagi Mekah akan kembali diingati dengan kemewahan disekelilingnya, dan bukan penghayatan penderitaan Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail dalam menempuhi suruhan berda‘wah serta ujian kecintaan terhadap keduniaan.

Malah, Bukit al-Safa dan Bukit al-Marwah kini ditutup sepenuhnya bagi memberi keselesaan kepada para jemaah haji dalam melakukan sa‘i. Lantainya juga dilapisi dengan marmar mahal bagi memberi kemudahan para jemaah haji untuk berlari tanpa merasa tidak selesa.

Tidak dinafikan bahawa jemaah haji terdiri daripada pelbagai lapis masyarakat yang datang dari seluruh pelusuk dunia, namun keselesaan sebegini akhirnya menjadi barah akibat hilangnya ma‘na dan penghayatan sa‘i dalam setiap jiwa para jemaah haji. Tujuh kali larian di antara kedua-dua bukit tersebut hanya menjadi memori di dalam album gambar, manakala penderitaan Siti Hajar mencari air buat puteranya akibat ditinggalkan suami yang keluar berda‘wah hanya menjadi teks di dalam buku-buku agama.


Sujud atau Sembah?
Sewaktu di zaman jahiliyyah, Ka‘bah dikelilingi oleh beribu-ribu berhala yang dibawa masuk oleh masyarakat Mekah sendiri dan para pedagang yang datang dari negeri-negeri lain. Kemasukan berhala ini dipelopori oleh ‘Amru bin Luhay bin Qam‘ah, dan setelah itu lambakan berhala semakin bertambah akibat Mekah merupakan pusat perniagaan yang berkembang pesat.

Berhala-berhala ini menjadi sumber pendapatan yang utama di Mekah. Orang ramai yang berpusu-pusu datang ke Mekah akan menabur wang di setiap berhala yang disembahnya bagi mendapatkan apa yang dihajati. Wang-wang ini dikutip oleh pembesar Mekah ketika itu sehingga menjadikan mereka terlalu cintakan tuhan ciptaan mereka yang menjadi modal untuk mendapatkan keuntungan dengan cara yang paling mudah dan paling cepat.

Setelah umat Islam dapat mengambil Mekah atas pimpinan RasuluLlah SAW, berhala-berhala ini semuanya dimusnahkan. Pemusnahan kesemua berhala-berhala ini bagi menyatakan kebesaran Ka‘bah yang menjadi hanya satu-satunya tempat tertumpu sujud, namun bukan Ka‘bah yang disembah, tetapi Allah SWT semestinya.

Solat mengadap Ka‘bah merupakan syi‘ar, sehingga menimbulkan ketaqwaan hati bagi muslim yang benar-benar menghayati syi‘ar Allah SWT:

“Demikianlah (perintah Allah); dan sesiapa yang mengagungkan syi‘ar-syi‘ar Allah maka (dialah orang yang bertaqwa kerana) sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.” [QS al-Ḥajj 22:32]

Para ulama’ juga sependapat bahawa jika Ka‘bah musnah sekalipun, umat Islam tetap akan solat dan tawaf tertumpu di tempat Ka‘bah. Inilah nilai ma‘na yang diajar dalam Islam, penyembahan bukan kepada objek yang disembah tetapi penyembahan kepada Allah SWT melalui syi‘ar yang digariskanNya kepada seluruh umat Islam.

Sungguh indah ajaran Islam sehingga ke hari ini, sewaktu mendirikan solat, setiap muslim akan menghayati penyembahan kepada Allah SWT dan bukan Ka‘bah walaupun kiblat yang dituju adalah Ka‘bah itu sendiri.


Mekah Kembali Ke Zaman Jahiliyyah

Kini Mekah kembali dibayangi masyarakat jahiliyyah disekelilingnya. ‘Berhala-berhala’ berwajah modenisme yang memberi keuntungan berlipat-ganda kepada pembesar Mekah sehinggakan ibadat haji dan umrah di Mekah menjadi kenangan manis dan amalan ritual semata-mata tanpa menusuk ma‘nanya di dalam sanubari setiap jemaah haji. Malah, berhala-berhala ini menjadi pilihan golongan berkemampuan sehingga jurang antara kaya dan miskin semakin mendalam.

Solat umat Islam di seluruh dunia mencecah bangunan Hilton Mekah, sebelum tiba di Ka‘bah. Rukuk umat Islam di seluruh dunia merentasi KFC Mekah, sebelum menuju Ka‘bah. Sujud umat Islam menyembah Hotel Dar al-Tawhid Mekah, sebelum mencapai Ka‘bah. Inilah gambaran Mekah hari ini setelah permodenan dibangunkan tanpa mengambil kira teras ajaran Islam yang mengajar umatnya tentang kesederhanaan cara hidup dan keharmonian antara jasmani dan ruh.

Keduniaan yang sepatutnya ‘disembelih’ di Mekah, kini dibawa pulang semula ke tanah air masing-masing. Dan umat Islam masih seperti sebelum kedatangan mereka ke tanah suci Mekah – penindasan golongan mampu kepada golongan yang tertindas masih belum berakhir.



Erti Sebuah Korban

Generasi muda hari ini melihat perayaan ‘Īdu al-’Aḍḥā sebagai jenaka penyembelihan haiwan ternakan melalui sebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) sesama rakan. Tidak cukup dengan itu, kartun dan animasi yang menjadikan ibadah korban sebagai humor tiba-tiba begitu popular di dalam blog-blog serta laman sawang yang lain.

Mengapa ini terjadi? Pandang sarwa begini terbentuk daripada kerosakan pendidikan yang diberikan kepada mereka secara langsung atau tidak langsung. Pandang sarwa ini diterjemahkan melalui kelakukan harian mereka yang mengisyaratkan kita tentang ramalan iklim masyarakat Islam di Malaysia bakal menghadapi kerosakan yang sangat-sangat dasyat.


Penyembelihan haiwan bukanlah semata-mata melengkapkan ibadah haji, tetapi menjadi peringatan buat semua kaum muslimin agar mema‘nai kesempurnaan ajaran Islam yang disampaikan oleh Allah SWT melalui firmanNya:


“Daging (haiwan korban) dan darahnya tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Dia memudahkan haiwan-haiwan itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah khabar gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha berbuat baik.”[QS al-Ḥajj 22:37]


Jika rukun Islam yang terakhir serta merangkumi keseluruhan kelima-lima rukun Islam dihina sebegitu rupa oleh umat Islam sendiri, agaknya apa akan jadi dengan keadaan masyarakat Islam 10 tahun akan datang?

Ramalan bukanlah tanggungjawab kita, usaha memperbaiki keadaan ini merupakan kewajipan kita. Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa hamba-hambaNya yang berusaha memperbaiki keadaan ini.

--

`Izzat Anwari bin Hasni,

Ketua Usrah Pemikiran,

Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API),

Persatuan Ulama' Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP),

Pulau Pinang.

Blog: http://DarahMerdeka.wordpress.com

Nak cari apa?

yang selalu duk click

::wanita::

DUHAI PUTERIKU.........
Keremajaanmu menyegarkan pandangan,
melimpahkan nyaman pada malam..
Cahaya keriangan di wajahmu adalah kilauan senjata yang menawan....
Madu yang menitiskan sarinya meresapkan manisnya dari bibir langsung ke hati adalah suara-suara lembut sang gadis...
Tertib dan sopanmu bagai hembusan angin yang menyamankan....

PUTERIKU.....
Dengan keremajaanmu...
kau bisa menakluk dunia dalam lalai dan leka
Tanpa kesedaran ....

DUHAI PUTERIKU....
Balikkanlah cermin di hadapanmu barang seketika ...
palingkanlah wajahmu barang sejenak...
Berkatalah dalam diri...
Kau bukan dilahirkan sebgai penggoda yang melekakan dunia...
Kesegaran dan kejelitaanmu adalah fana belaka..
Balutan gemerlap permata intan hanyalah hiasan...
Dongak dan lihatlah kerdipan bintang-bintang nun di langit...
Sedarlah...hidupmu ini hanya cebisan dari erti kehidupan...
Selamilah dasar hatimu dan bisiklah pada diri
Alangkah hinanya roh kita tanpa hiasan apa-apa...

PUTERIKU...
Berfikirlah untuk menjadi insan yang berguna agar seisi dunia merasakan rahmat kehadiranmu...
WAHAI PUTERI MUSLIMAH SEJATI ...
Salutilah tubuhmu dengan iman...
kerana ia sangat manis pada pandangan jua perhiasan...
Usah merasa resah lalu menyolek diri ...
inginkan wajah yang lebih indah...
Bersyukur dan berbahagialah dengan apa yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT...

DUHAI MUSLIMAH TERPUJI...
Renung dan resaplah kekaguman serta kekuatan keyakinan bahawa hayatmu setiap detik di bawah naungan Allah SWT...
Kecintaan Ilahi melimpah dan melaut di segenap penjuru alam walaupun pada yang alpa erti kehidupan...

GADISKU...
Bersihkanlah hatimu...
kemanisan iman sukar dikecapi tanpa janji Tuhan...
Jannah itu bukan mimpi tapi realiti...
Dunia hanyalah persinggahan...
akhirat itu kekal abadi....

::Keindahan BersamaMu:: KBM

ssq