::bercinta sampai syurga::

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers Ops...minus 1 year =)

::our little sweetheart::

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Tuesday, March 11, 2008

::bingkisan hati::



Hadiah yang paling ISTIMEWA

PAGI 16 Mei 2005, saya dikejutkan dengan beberapa orang anak murid yang meluru ke arah saya. Wajah mereka berseri-seri lalu masing-masing menghulurkan bungkusan berwarna-warni. "Cikgu... Selamat Hari Guru!" kata mereka bertepuk tangan sambil berlari-lari anak mengelilingi saya.

Memang saya terkejut kerana sebelum itu tidak pernah saya khabarkan pada anak-anak murid tentang tarikh sambutan Hari Guru, apalagi mengingatkan mereka.. Bagi saya mereka terlalu muda dan belum dapat menilai erti sambutan Hari Guru. Rupa-rupanya saya silap. Tanpa saya menyangka pagi itu meja saya di-penuhi pelbagai jenis hadiah. Ada yang membawa jambangan bunga,jam, bingkai gambar, kerongsang, tudung dan macam-macam lagi. Hari itu saya rasakan terlalu indah. Saya rasa disanjungi, lalu pipi anak-anak murid saya kucup tanda menghargai pemberian dan ingatan mereka.
"Terima kasih... bagitau ibu, cikgu ucapkan terima kasih, ya," pesan saya pada Anna lalu satu kucupan singgah di pipi gebunya.
Di sisi Anna, saya lihat Mariam tersengih-sengih.
"Cikgu... Mariam pun nak bagi hadiah. Tapi takbawa hari ni, lupa. Boleh cikgu, ya? " kata anak kecil itu bersungguh.
"Tak payahlah Mariam. Tak bagi pun tak apa. Cikgu bukan minta hadiah, cukuplah Mariam ucap Selamat Hari Guru buat cikgu. Itu pun sudah buat cikgu gembira," saya cuba memujuknya kerana tidak mahu
menyusahkan Mariam dan anak-anak murid yang lain.
Sebagai cikgu, saya tahu serba sedikit latar belakang keluarga mereka. Kerana itu saya tidak mahu ada di antara anak-anak murid saya yang bersusah payah menyediakan hadiah, lebih-lebih lagi Mariam. Dia bukan anak orang senang, ibu bapa Mariam membesarkannya hanya dengan meraut lidi, mencari daun getah kering lalu menjualkannya. Sebab itu saya tidak mahu Mariam rasa bersalah bila melihat teman-teman yang lain memberikan hadiah sedangkan dia tidak membawa apa-apa. Bagi saya, lebih baiklah duit yang ada itu digunakan oleh ibu bapa Mariam untuk makan minum keluarga, atau belikan baju baru untuk Mariam buat menggantikan baju yang kusam dan masam dek peluh.

Saya gembira mendidik murid seperti Mariam. Biarpun ibu Mariam sudah lama meninggal dunia namun anak kecil itu masih bertuah kerana ibu tirinya menyayangi Mariam tidak ubah seperti anak kandung sendiri. Buktinya setiap pagi saya lihat anak kecil itu datang ke tabika sambil dipimpin ibunya, berjalan kaki sejauh dua kilometer setiap hari. Kalau ada yang bersimpati, di tengah perjalanan ada keluarga murid-murid lain akan menumpangkan Mariam. Kalau tidak Mariam akan terus berjalan kaki dalam panas gerimis, pergi dan balik. Begitulah setiap hari.
Esoknya sekali lagi meja saya dipenuhi dengan pelbagai jenis hadiah. Kali ini datang daripada anak-anak murid yang tidak sempat memberikannya semalam. Saya hanya mampu menggeleng-gelengka n kepala bila mana sambutan Hari Guru tahun ini benar-benar meriah.
Seperti biasa, pagi itu saya berdiri di hadapan pintu menyambut seorang demi seorang ibu bapa datang menghantar anak masing-masing. Di muka pintu sekolah, saya dengar seorang bapa berpesan; "Hadiah tu bagi kat cikgu, tau." Tatkala itu saya benar-benar tersent
uh kerana saya langsung tidak menyangka cukup dihargai oleh anak-anak murid yang masih kecil usianya.
Dari halaman, saya lihat Mariam berpimpinan tangan dengan ibunya. Saya sambut kedua-dua mereka dengan senyuman. Sama seperti pagi-pagi sebelumnya, Mariam tiba di tabika dengan keadaan tubuh yang bermandikan peluh. Bajunya basah namun kanak-kanak itu tetap ceria, tersenyum seperti biasa.

"Cikgu! Mariam bawa hadiah untuk cikgu!" laungnya sambil ketawa.
"Kan cikgu dah pesan, Mariam tak payah bagi cikgu hadiah," kata saya lalu mengusap rambut Mariam yang bertitisan peluh, dengan rasa kasih yang mendalam.

"Tak apa... hadiah ni best cikgu!" kata Mariam bersungguh-sungguh.
Meriam meletakkan begnya di atas
meja. Pantas jari-jemari comelnya membuka zip beg sekolahnya yang sudah pudar warna akibat dimamah cahaya matahari.
"Sekejapya, cikgu," kata Meriam yang masih tercungap-cungap kepenatan.
Saya lihat Meriam mengeluarkan sesuatu dari dalam beg. Dia tersenyum sebaik menghulurkan segumpal surat khabar yang berkecai dalam genggamannya.
"Alaaaa... koyak pulak cikgu," rungut Meriam penuh kekesalan. Matanya membulat memandang saya yang masih setia menanti
nya. Beberapa anak-anak murid yang lain turut berdiri tidak sabar lihat apa yang Meriam keluarkan.
"Apa yang Meriam bawa tu? " saya tanya penuh hairan melihat sesuatu yang bulat dibungkus dengan surat khabar lama.
Saya dekati anak kecil itu lalu menyelak beg yang dibawanya. Di saat itu hati tiba-tiba menjadi sebak sebaik melihat lima biji buah bacang bertindihan dengan buku-buku tabikanya. Dada saya ini mula terasa berat, ada air yang mula bertakung di kelopaknya.
"Cikgu ambillah plastik, rumah Mariam tak ada plastik sebab tu mak bungkus dengan kertas. Tapi koyak pulak," katanya lincah sambil sebiji demi sebiji buah bacang dikeluarkannya dari dalam beg sekolah.
Gelak tawa kawan-kawannya mula kedengaran namun Meriam masih tersenyum lalu matanya merenung saya dengan pandangan yang cukup sayu.

"Cikgu... cikgu tak suka buah bacang ke? " tanya anak kecil itu bila melihat saya merenung wajahnya dan lima biji buah bacang yang bergulingan di atas meja.
Saya cuba tahan air mata supaya tidak mengalir. Terlalu sebak rasanya.
"Taakkkkk... Cikgu... cikgu suka sangat. Balik nanti cikgu buat sambal belacan, ya," kata saya, perlahan. Suara saya bagai tersekat di kerongkong.
Dapat saya lihat anak kecil itu mengukir senyum. Saya peluk tubuhnya yang masih bermandi kan peluh. Tidak dapat saya gambarkan bagaimana anak kecil itu membawa lima biji buah bacang sambil berjalan kaki sejauh dua kilometer.
Saya kucup pipinya beberapa kali lalu tidak henti-henti ucapan terima kasih saya bisikkan ke telinga Mariam.

"Bagitau mak... cikgu suka buah bacang. Terima kasih, ya," ucap saya lagi..

Anak kecil itu mengangguk. "Tengok Meriam pun bagi hadiah kat cikgu juga," katanya kepada kawan-kawan sambil tersenyum riang.
"Eleh.... buah bacang bukan hadiah. Orang bagi hadiah kena bungkus lawa-lawa, bukan dengan kertas koyak," kata seorang anak murid yang masih tidak mengerti nilai sebuah hadiah yang sebenar-benarnya.
"Tak apa... semua hadiah cikgu suka. Balut lawa atau tidak, semuanya sama. Cikgu sayang semua anak-anak murid cikgu," saya ucapkan kata-kata itu agar hati dan perasaan anak sekecil Mariam tidak terguris.

Dapat saya lihat Mariam sekali lagi ketawa lalu bertepuk suka. Beberapa titis air mata yang sejak tadi saya tahan, akhirnya tumpah dipipi. Cepat-cepat saya mengesatnya bimbang anak-anak kecil yang suci dan bersih itu perasan kerana mereka belum dapat menyelami perasaan seorang insan yang bergelar guru.
Buah bacang pemberian Mariam itu saya bawa pulang denga
n perasaan bangga bercampur hiba. Walaupun ia hanya lima biji bacang, tapi hadiah itu amat istimewa. Wajah Mariam, bajunya yang dibasahi peluh dan senyumannya yang ikhlas bermain-main di ruang mata saya.
Tengah hari itu sambal belacan buah bacang menjadi santapan kami sekeluarga dan semasa menelannya, beberapa titik air mata ini tumpah lagi kepipi.


Terima kasih, Mariam. Lima biji bacang itu merupakan hadiah paling bermakna buat cikgu dan cikgu tidak akan lupakan sampai bila-bila.

No comments:

Nak cari apa?

yang selalu duk click

::wanita::

DUHAI PUTERIKU.........
Keremajaanmu menyegarkan pandangan,
melimpahkan nyaman pada malam..
Cahaya keriangan di wajahmu adalah kilauan senjata yang menawan....
Madu yang menitiskan sarinya meresapkan manisnya dari bibir langsung ke hati adalah suara-suara lembut sang gadis...
Tertib dan sopanmu bagai hembusan angin yang menyamankan....

PUTERIKU.....
Dengan keremajaanmu...
kau bisa menakluk dunia dalam lalai dan leka
Tanpa kesedaran ....

DUHAI PUTERIKU....
Balikkanlah cermin di hadapanmu barang seketika ...
palingkanlah wajahmu barang sejenak...
Berkatalah dalam diri...
Kau bukan dilahirkan sebgai penggoda yang melekakan dunia...
Kesegaran dan kejelitaanmu adalah fana belaka..
Balutan gemerlap permata intan hanyalah hiasan...
Dongak dan lihatlah kerdipan bintang-bintang nun di langit...
Sedarlah...hidupmu ini hanya cebisan dari erti kehidupan...
Selamilah dasar hatimu dan bisiklah pada diri
Alangkah hinanya roh kita tanpa hiasan apa-apa...

PUTERIKU...
Berfikirlah untuk menjadi insan yang berguna agar seisi dunia merasakan rahmat kehadiranmu...
WAHAI PUTERI MUSLIMAH SEJATI ...
Salutilah tubuhmu dengan iman...
kerana ia sangat manis pada pandangan jua perhiasan...
Usah merasa resah lalu menyolek diri ...
inginkan wajah yang lebih indah...
Bersyukur dan berbahagialah dengan apa yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT...

DUHAI MUSLIMAH TERPUJI...
Renung dan resaplah kekaguman serta kekuatan keyakinan bahawa hayatmu setiap detik di bawah naungan Allah SWT...
Kecintaan Ilahi melimpah dan melaut di segenap penjuru alam walaupun pada yang alpa erti kehidupan...

GADISKU...
Bersihkanlah hatimu...
kemanisan iman sukar dikecapi tanpa janji Tuhan...
Jannah itu bukan mimpi tapi realiti...
Dunia hanyalah persinggahan...
akhirat itu kekal abadi....

::Keindahan BersamaMu:: KBM

ssq