www.iluvislam.com
Kiriman: taufiqzulkefli* Editor : b_b
CHIN PENG , TUN MAHATHIR, SITI NURHALIZA, ASHAARI MUHAMMAD, HIDEO NOMO, MAWI, HASAN AL-BANNA, TIGER WOODS, BILL GATES, SAID HAWWA, SIMON COWELL, ABU HAMID AL-GHAZZALI, IBN TAIMIYAH, STEPHEN COVEY, TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ, CALVIN COOLIDGE
KEPIMPINAN DAN PENGARUH
KEPIMPINAN DI SEKOLAH
Kalau di sekolah, andaikata pelajar dilatih memimpin hanya dengan jawatan, mereka akan hanya mampu mempimpin andaikata diberikan kuasa, jawatan dan kedudukan. Apabila mereka ini dilepaskan ke tempat yang memerlukan mereka untuk bangun sendiri, memimpin persekitaran dan membentuk pergerakan, mereka gagal. Ini adalah di antara punca mengapa ada pelajar yang cemerlang dalam kepimpinan di sekolahnya, apabila masuk ke universiti, gagal berperanan. Pelajar sekolah agama yang disegani (sebenarnya mungkin digeruni kerana kuasanya), mungkin gagal berbuat apa-apa, jika dia menyambung pengajian ke sebuah universiti yang tiada persatuan Islam, tiada platform, dan tiada siapa yang membekalkan kuasa. Jika ke Mesir yang ada persatuan seperti PMRAM, mungkin kelangsungan kepimpinan boleh diteruskan. Bagaimana pula jika pelajar ini dihantar ke bandar-bandar terpencil di Kiev Ukraine, Moscow, Wellington, atau Durham dan Swansea?
Ini antara analisa saya terhadap kegagalan sesetengah pelajar sekolah agama berperanan di kampus-kampus negara Barat. Apabila latar belakang mereka diselidik, mereka datang dari sekolah-sekolah agama yang bagus, malah mereka adalah di antara pemimpin pelajar yang terkenal semasa di sekolah. Tetapi kenapa gagal berperanan semasa di kampus? Bukan sahaja gagal memimpin, malah ramai juga yang ‘pencen awal’ dari identiti agama. Antara faktor yang saya kenal pasti, adalah pendekatan Tarbiyah mereka semasa di sekolah. Badan-badan agama yang diberikan otoriti1 oleh pihak sekolah, atau diwarisi turun temurun, berperanan sebagai ‘cemeti’ melaksanakan dakwah di sekolah. Tetapi jika kepimpinan terlalu bergantung kepada kuasa dan kedudukan, mereka gagal memimpin di dalam dunia sebenar, yang melihat aspek yang lebih penting iaitu PENGARUH! Malah, di kampus juga, kekalahan kumpulan dakwah akan melenyapkan figura-figuranya2 daripada terus berfungsi di dalam masyarakat, kerana kebergantungan mereka kepada kuasa untuk melaksanakan dakwah. Mereka terlupa kaedah membangunkan Islam, berbekalkan pengaruh dan kualiti diri, yang wujud pada diri Muhammad SAW tatkala baginda belum menjadi Rasul di Mekah.
Hal yang sama teraplikasi di dalam sebuah organisasi perniagaan. Amat rumit jika ketua sebuah jabatan, adalah seorang yang hanya ada jawatan dan kedudukan tetapi tiada pengaruh. Beliau akan memaksa jawatan dan kedudukannya di’sedari’ oleh pekerja, dari semasa ke semasa, demi memastikan arahannya berjaya dipatuhi. Tetapi di dalam mesyuarat, kata-katanya bukanlah yang membentuk keputusan. Mungkin dengan kuasanya keputusan boleh dipaksakan ke atas mesyuarat, namun ia tidak menyerap ke hati dan persetujuan ahli. Tiada kesungguhan anak buah untuk melaksanakan arahan, kerana arahan itu datang dengan paksaan, tanpa penerimaan. Itulah impak kuasa tanpa pengaruh!
GLOSARI:
1 otoriti - pihak berkuasa (atasan)
2 figura - perwakilan (representasi) (terutamanya bentuk manusia) dlm lukisan atau ukiran
No comments:
Post a Comment