Oleh Faisal Tehrani
SYAHDAN telah sepurnama hakir membawa hikayat Tun Lepat untuk dijamu buat tuan-tuan yang bijaksana. Maka setelah beberapa lama, tuan-tuan sudah pun menelaah akan serba sedikit kisah hidup Tun Lepat di hujung nyawanya. Adapun Tun Lepat itu bakal ia dijadikan korban kerana penganiayaan seorang perempuan rakus kepada takhta dan singgahsana. Adapun kali ini izinkan hakir berhenti sejenak menggantung ceritera, nanti akan kita kembali semula kepada fasal Tun Senaja dan segala kerenahnya.
Izinkan hakir membawa tuan-tuan kepada renungan asal usul Tun Lepat itu. Mana asalnya, mana usulnya dan bagaimana ia sampai menjadi gerau tersohor di istana Melaka. Namun segan di hati hakir kerana bukanlah hakir layak membawa kisah ini melainkan Tun Lepat sendiri jua. Maka berilah laluan buat ayahanda Tun Lepat untuk berlipur sendiri:
Asal kita dari negeri yang jauh. Nama negeri itu Pasai. Hendaklah tuan-tuan tahu, akan ayahanda kita itu datangnya dari negeri bernama Najaf, orang Arab juga ia. Oleh bermacam-macam kesusahan hidup di negeri jauh itu dan oleh zalimnya pemerintah Abbasiyyah menindas orang yang tidak sefaham dengannya maka ayahanda kita menumpang bahtera dengan dua tiga sahabat sepermainannya lalu sampailah ia ke negeri Pasai. Di situlah ayahanda kita berkahwin bertemu jodoh dengan sanak-saudara Raja Merah Silu, dan lahirlah kita tidak lama sesudah itu. Kala kita berusia baru beberapa purnama terjadilah daga besar di negeri Pasai.
Oleh daga besar itu terkorbanlah ayahanda dan bonda kita, dan kita diasuh oleh bapa saudara kita bernama Musa al Kazim. Oleh macam-macam penderitaan di negeri Pasai, maka bertolaklah kami ke negeri baharu bernama ia Palembang. Adapun negeri Palembang ini sedikit entah apa-apa tuan-tuan. Adalah dikatakan pemerintah Palembang itu orang dari kayangan. Entahlah, padahal kita lihat sama sahaja mereka itu. Tidak macam jin atau bunian pun.
Adalah dikatakan mereka itu keturunan Iskandar Zulkarnain itupun kita rasa semacam tidak percaya kerana kita sendiri yang ada darah Arab jauh lebih putih merah dari mereka itu. Warna kulit mereka hitam-hitam manggis seperti Ayah Pin sahaja. Hidung mereka tiada pun mancung seperti kanda Sheikh Muszaphar kita yang segak itu padahal kanda Sheikh sudah sampai kayangan betul.
Tambah lagi kita tiada percaya ialah kerana orang di Palembang itu makan minum berak macam manusia juga, manakan insan dari kayangan makan nasi seperti kita jua? Malah tiadalah kita percaya ada manusia dari atas langit, kerana Nabi Muhammad yang kekasih Allah itu pun datang dari bumi. Kalaulah ada manusia yang lebih hebat daripada Nabi Muhammad itu biarpun ia kononnya alim ulama maka itu namanya bohong.
Mamak kita itu pada suatu malam saat terlena ia, mendapat khabar mimpi yang meresahkan hatinya. Dalam mimpinya seorang lelaki yang juga namanya Musa al Kazim memberitahu supaya bapa saudara atau mamak kita menjadi pengikut seorang petinggi bernama ia Parameswara.
Menurut yang empunya cerita adalah Parameswara itu putera kepada Sang Aji Palembang, ia berkahwin dengan sepupu Bhatara Tumapel, raja negeri Jawa. Adapun Parameswara atau Param itu setelah beberapa tahun berkahwin ia mulai menunjuk lagak dan cuba ia menunjuk kuasa untuk memisahkan negeri Palembang daripada naungan Jawa.
Bhatara Tumapel amatlah marah oleh cubaan pengkhianatan Parameswara, “Ini semua kerja orang gila ini…” Maka Parameswara pun diusir dari Palembang dan belayarlah ia ke sebuah pulau kecil bernama Temasik. Bapa saudara kita Musa al Kazim, berpandukan mimpi yang aneh sebelumnya turut mengikut rombongan Parameswara. Kita pun dibawa bersama. Terdapat tujuh puluh dua orang semuanya dalam bahtera termasuklah dua ekor anjing.
Parameswara itu tuan-tuan dapatlah kita katakan serakah ia kepada kekuasaan. Adapun lapan hari baru di Temasik, sudah dibunuhnya pemerintah Temasik waktu yang bernama Sang Aji Yew Temasik. Adalah Sang Aji Yew ini menantu raja Siam, Sri Thaksin Watt. Itulah bukan pada zaman tuan-tuan sahaja ada hubungan Siam dengan Temasik, dulu-dulu pun sudah ada. Setelah dibunuh Sang Aji Yew itu, Parameswara pun memerintah Temasik. Serakah kuasa - janganlah tuan-tuan kehairanan kerana orang di zaman tuan-tuan ada orang mengatakan dalam bahasa orang putih: `The time will come when they will learn their lesson.'
Adalah lima tahun Parameswara memerintah Temasik. Isteri Parameswara itu namanya Ratu Kamarul Ajaib. Tidaklah seperti namanya, tiadalah ajaib sangat Ratu Kamarul itu. Hidungnya pesek, matanya sedikit sepet, rambutnya tiada merah seperti rambut ratu cantik kerana sudah botak, badannya agak bagak seperti jantan juga. Kita tahu itu kerana ia suka berkemban, menunjuk apa yang boleh ditunjuk. Kalau ditanya orang mengapa ia suka berkemban, ia akan menjawab, `'Entahlah, mak kita pun berkemban. Jadi nak malu apa.”
Bila ada orang membantah kerana berkemban itu boleh menampak malu di badan, dan bukan budaya orang kayangan, Ratu Kamarul Ajaib akan membalas semula dengan penuh marah-marah, “Jika berkemban itu boleh merosakkan budaya, maka marilah kita semua berkemban merosakkan budaya.”
Ratu Kamarul Ajaib ini kuat cemburu orangnya. Masakan tidak, hendak ia berkepit dengan Parameswara sepanjang masa. Andainya Parameswara bermain-main dengan anjing-anjingnya baginda ratu akan segera mengamuk. Kalau Ratu Kamarul Ajaib ini bertutur tiada kita faham seperti pelat orang mualaf jua. Suaranya pun serak-serak garau, kalau bermesra dengan baginda tuanku itu kita pun naik geli-geleman.
“Kanda Param, apa gerangan kanda membelai-belai anjing sahaja sepanjang masa? Kita yang gersang ini tiada pula hendak dibelai.”
Sekarang tahulah tuan-tuan mengapa Parameswara yang sudah berusia 62 tahun itu tiada selera akan Ratu Kamarul Ajaib. Seperti yang tuan-tuan pun tahu Pameswara waktu itu menjalinkan hubungan sulit dengan anak perempuan pembesarnya bernama Sang Rajuna Tapa. Mula-mula tiada diketahui orang tetapi lama-kelamaan diketahui juga orang kerana meskipun tiada CCTV di zaman itu tetapi jin mambang di zaman tersebut mulutnya becok usah dikira, kerjanya jin mambang menyampai khabar sahaja kepada siapa yang patut disampai.
Memang tuan-tuan rasa sepeti tiada kemunasabahannya tetapi itulah hakikat konon raja Melayu itukan dari petinggi Demang Lebar Daun yang turun dari kayangan. Oleh kerana itulah tuan-tuan tatkala Islam tiba di rantau Melayu, belajarlah bangsa Melayu itu menjadi munasabah dan menggunakan akal. Tiadalah lagi ia percaya kononnya orang kenamaan itu berkuasa melebihi Tuhan.
Fahaman yang orang di zaman tuan-tuan panggilkan feudal itu satu faham salah yang mendatangkan fitnah dalam negeri sahaja. Adalah agama yang mendorong umatnya menggunakan akal dan berhenti mempercayai susuk, anak pontianak, saka, dan segala tahyul itu hanyalah Islam kerana Allah ada berfirman dalam surah Sad ayat dua puluh sembilan:
`Inilah kitab yang telah kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan agar mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.'
Jadi tuan-tuan fikirkanlah, gunalah akal. Sementara tuan-tuan berfikir itu, hendaklah kita berbalik kepada kisah-kisah tiada masuk akal dahulu yang membabitkan gundik Parameswara, perempuan itu memanglah lawa, hendak menangis kalau diperi. Bila ditatap seperti merak emas. Rambutnya mengerbang seakan ular mamdud.
Adalah riwayat mengatakan alat kelaminnya diperbuat daripada perak sakti, payu daranya daripada tembaga. Saat mereka bersama seperti bertemu Dewi Lakpurba dengan Derma Gangga. Maka Ratu Kamarul Ajaib sungguh cemburu maka dihasut dan difitnahnya Dang Ranum itu. Dikatakanlah Dang Ranum itu sudah naik minyak dengan seorang hulubalang yang kacak, Hang Chen.
“Kalau kanda Param tak percaya, lekas-lekas tanyakan kepada Dang Ranum itu. Hissy entah apa yang ranum tiadalah kita mengerti.”
Maka diperintahkanlah Dang Ranum menghadap.
“Dinda, apa benar dinda ada melakukan hubungan sulit…”
“Bukan sekadar hubungan sulit tetapi hubungan selit.” Ratu Kamarul Ajaib menyampuk dengan suara garau seraya membetulkan kembannya yang makin melorot.
Parameswara menahan sabar. “Biarlah kanda siasat dahulu.”
Diam seisi balairong seri. Tatkala Parameswara itu naik berang ada-ada saja titah yang tiada dijangka. Pernah sekali dulu Parameswara memerintah dibunuh seorang anak-anak kerana ia mencadangkan orang Temasik memakan ikan todak dan berhenti memakan daging lembu.
Dang Ranum menangis-nangis mengangkat sembah. “Ampun tuanku beribu ampun…sembah pacal ini haraplah diampunkan. Kalau tiada ampun apalah kiranya pacal ini.”
“Cettt, betul atau tidak?”
Dang Ranum makin melalak. “Tuanku…adalah pacal ini masih muda.'
Parameswara membundarkan mata. “Jadi betulkah?”
“Tuanku, percayalah kata pacal. Apa yang berlaku itu tiada melibatkan perak dan tembaga.”
Parameswara menggigil kemarahan. “Jadi, selain itu ada?”
Dang Ranum tersedu-sedu. Sang Rajuna Tapa tiada dapat menyahut sepatah apa.
“Cis, dasar tiada kenang budi. Hendak dikatakan gundik bukan gundik…apa gerangan Ranum buat begini? Cepat khabarkan mengapa Ranum sampai boleh menduakan beta?”
“Ini sudah lebih daripada menduakan namanya kanda…” Ratu Kamarul Ajaib tersipu-sipu senyum tanda suka.
“Mengapa Ranum?” Parameswara mendesak.
Dang Ranum menangis tambah mengugu. “…tuanku, macam tu aja!”
“Macam tu aja? Kau katakan aku macam tu aja. Dato Temenggung panggilkan orang sula jalang ini.” Titah Parameswara yang singkat akalnya.
Dato Temenggung menggigil. “Ampun tuanku, adapun sula tiada boleh kerana Ranum itu ranumnya diperbuat daripada perak.”
“Cis, gunalah akal. Jolok ikut mana dapat.”
Sang Rajuna Tapa amatlah berduka, kerana hukuman sula itu tuan-tuan amatlah mengaibkan. Adalah hukuman itu juga amat kejam dan penuh siksa. Apatah pula di khalayak ramai. Maka oleh sakitnya hati itu Sang Rajuna Tapa pun membuka pintu kota Temasik lalu dijemput tentera Bhatara Tumapel, dan dijemput bala tentera Siam supaya dapat dibalas dendam akan kematian Sang Aji Yew yang tiada terbela.
Maka terpaksalah Parameswara berundur ke dalam hutan, merentas selat dan sungai sampailah masuk ke dalam belukar belantara. Benarlah ingatan tuan-tuan itu, adalah mamak kita ikut sama rombongan Parameswara. Hendak dijadikan sebab, adalah waktu berundur itu amat tergesa-gesa dan tiada dibawa sebarang bekalan makanan.
Adapun kita sudah pun berusia dalam tujuh tahun. Sudah berapa pekan rombongan Parameswara bersembunyi dalam hutan tiada makan dengan sempurna. Suatu hari yang cerah Parameswara memerintahkan beberapa orang hulubalang melembing dua ekor babi hutan. Setelah dipanggang hidup-hidup santaplah mereka.
Adapun kita dan mamak kita sebagai orang Islam tiada boleh makan binatang itu. Adalah sedikit bekalan daging yang sudah kita keringkan. Untuk dijadikan sedap daging itu mamak kita Musa al Kazim mencari pokok pisang hutan yang tumbuh meliar di kawasan berbukit. Pokok pisang hutan ini tuan-tuan tiada ditanam kerana buahnya tidak boleh dimakan disebabkan terlalu banyak biji. Mamak kita mencari pokok pisang hutan yang masih muda yakni belum ia berbuah lantas diambil umbutnya iaitu bahagian tengah batang pisang, untuk dimasak.
Adalah kita dan mamak menebang pokok terpilih, batang pisang itu dikoyak kulitnya untuk diambil umbut yang lembut. Ketika meredah rimba itu kita juga mengambil hasil hutan seperti pucuk paku, rebung dan pokok tepus yang umbutnya cukup enak dibuat ulam.
Setelah itu kita dan mamak memasukkan umbut batang pisang ke dalam periuk dan dibuat gulai. Adalah daging sedikit. Kalau tuan-tuan suka nanti tatkala masukkan umbut pisang itu masukkan ia ketika daging separuh masak, jika batang pisang dimasukkan lebih awal, ia akan menjadi terlalu lembut.
Bolehlah tuan-tuan mencubanya. Kalau ada santan eloklah juga, berilah tambah rasa dengan rempah basah dan rempah kering. Adapun rempah basah itu bahan yang ditumbuk dengan batu lesung seperti bawang, halia, bawang putih dan cili.
Adapun rempah kering itu pula termasuk biji ketumbar, jintan, buah pelaga, kayu manis dan lain-lain. Rempah ratus ini tuan-tuan hendaklah disangai terlebih dahulu sebelum ditumbuk atau dikisar.
Kalau hendak lebih bagus cadangan kita gunakan juga segala macam herba seperti serai, daun pandan, daun limau purut, daun kemangi, bunga kantan, kunyit, lengkuas dan buah pala. Bau gulai itu terapung merebak dan terhidulah dek hidung Parameswara yang sudah Kompong.
“Apa nama makanannya yang kamu berdua makan?”
“Gulai batang pisang tuanku.”
“Ohhh…beta suka pisang. Mari beta cuba sedikit.”
Setelah disantap sedikit, suka benar Parameswara dan Ratu Kamarul Ajaib. Parameswara pun bertitah, “Kalau begitu sepanjang kita kembara ini tuanlah jadi geraunya.”
Mamak bersuara, “Tiada hamba dan anak hamba ini makan babi.”
“Tak mengapa, kalau sedap tiada makan babi pun tak apa. Carilah ganti yang lebih baik. Boleh tupai, monyet atau beruang.”
Terkelip-kelip mata mamak menjeling kita di sisi.
Begitulah tuan-tuan selang tiga hari kemudian dua ekor anjing besar kesayangan Parameswara itu ditendang seekor pelanduk. Parameswara pun mendapat ilham untuk menerangkan hutan dan membuka negeri di situ. Adalah negeri itu dinamai Melaka.
Bermulalah kehidupan baru, mamak kita dilantik menjadi gerau istana. Dan kita akan belajar daripadanya. Sungguh ada macam-macam cerita tetapi itulah, sudah tiba masa makan maka izinkan kita berundur dulu. Janganlah tuan-tuan lupa menatap ceritera ini Selasa mendatang kerana akan kita perikan kisah sirih pinang dan segala perangai ajaib Ratu Kamarul Ajaib.
Sambungan : Ketupat Cinta Siri 7: Sekapur Sirih Setempayan..........
2 comments:
muga allah rahmati kehidupan anda hendaknya..
Terima kasih... mari bersama-sama membina diri dan masyarakat =)
Post a Comment