Kehadiran cahaya mata memang dinantikan-dinantikan oleh setiap pasangan yang sudah berumah tangga. Bermula daripada detik anda merancang untuk mengandung kemudian anda disahkan mengandung dan seterusnya menikmati perkembangan minggu demi minggu bayi di dalam kandungan memang satu pengalaman yang menakjubkan.
Menjadi perkara biasa apabila anda berasa kurang selesa sewaktu mengandung dan anda pasti ingin tahu mengapa hal ini berlaku dan bagaimana untuk menanganinya.
Perancangan teliti sebelum mengandung, jagaan sewaktu mengandung, pilihan tempat bersalin yang selamat dan penjagaan selepas bersalin amat penting untuk menentukan keselamatan sertã kesihatan ibu dan bayi.
Di antara gejala-gejala yang masih mengancam nyawa wanita masa kini ialah pendarahan atau tumpah darah sebelum dan pada waktu melahirkan anak, keguguran, keracunan atau sawan ketika mengandung (septicaemic shock) dan sawan bersalin (eclampsia).

Selain itu, antara penyakit yang sering dialami wanita ketika mengandung ialah darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung dan buah pinggang. Sebab itulah, wanita mengandung perlu memastikan tahap kesihatan mereka sebelum bersedia untuk mengandung dan mengekalkan tahap kesihatan yang baik sewaktu mengandung.
Sebaik-baiknya setiap kemengandungan perlulah dirancang. Hindarkan daripada kemengandungan yang berlaku secara tidak sengaja atau secara kebetulan. Sesetengah wanita akan mengambil tindakan yang melulu dan berbahaya seperti percubaan untuk menggugurkan kandungan tersebut akibat masalah kewangan atau hubungan suami isteri.