::bercinta sampai syurga::

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers Ops...minus 1 year =)

::our little sweetheart::

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Sunday, November 14, 2010

::Aidil Adha 1431H::

Perkongsian: Menjejak Keluarga Ibrahim

Adakah semata-mata haiwan yang terkorban? ~ picture by tya of deviant art.
 Adakah semata-mata haiwan yang terkorban? ~ picture by tya of deviant art.

Esok 9 Zulhijjah. Lusa 10 Zulhijjah. Aidiladha.
Aidiladha, Aidiladha. Setiap tahun ada Aidiladha. Tetapi apakah yang kita nampak pada Aidiladha?
Nama lain bagi Aidiladha adalah Hari Raya Korban. Ya, korban. Sebut sahaja Adiladha, orang akan nampak korban. Suka saya bertanya, korban apakah yang kita nampak?
Biasanya, orang akan menjawab kepada saya, korban kambing, lembu dan di tanah arab ini, kami korbankan juga unta.
 
Adakah Aidiladha ini, hanya untuk kita memerhatikan korban yang itu?
 
Pernahkah kita melihat ke dalam diri, apakah pengorbanan yang telah kita lakukan untuk Allah SWT?
Maka di sini, suka saya hendak mengajak diri saya dan pembaca, untuk kita menjejak satu keluarga. Oh, ini bukan slot Bersamamu. Keluarga ini telah lama tiada. Tetapi masih hidup di dalam jiwa-jiwa manusia yang beriman. Yang telah menunjukkan pengorbanan yang tinggi kepada Allah SWT.
Mari kita menjejak Keluarga Ibrahim AS.

Apa yang berlaku pada keluarga itu?

Ibrahim AS telah membawa isterinya Hajar dan anaknya yang baru lahir bernama Ismail, ke satu lembah gersang di tengah padang pasir yang dikelilingi gunung ganang. Di situ, dia meninggalkan kedua-duanya.
Ini ditunjukkan dalam firman Allah SWT berkenaan doa Ibrahim As:
 
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” Surah Ibrahim ayat 37.

Ibrahim AS kemudiannya kembali kepada isterinya Sarah di Palestin.
Di sini kita dapat melihat bahawa, Ismail AS tidak membesar bersama-sama bapanya Ibrahim AS. Yang menjaganya, bersabung nyawa memastikan penerusan kehidupannya, adalah ibunya Hajar. Namun apakah Hajar kecewa? Merasa tidak berguna dan sebagainya?

Kita akan perhatikan nanti.

Ibrahim AS meninggalkan mereka di lembah gersang itu, adalah sebahagian daripada aturan Allah SWT untuk sesuatu yang besar pada masa hadapan. Dan di sini, Ibrahim AS telah melakukan satu pengorbanan yang besar dengan meninggalkan anak dan isterinya di satu tanah yang gersang, tiada sumber air dan makanan.
Namun keimanannya kepada Allah SWT, keyakinan bahawa perintah Allah tidak akan menghasilkan sia-sia, membuatkan dia tabah meninggalkan isteri dan anaknya.
Ini pengorbanan yang pertama
.
Ujian datang lagi buat keluarga itu

Selepas berlalu beberapa waktu, Nabi Ibrahim AS bermimpi bahawa dia menyembelih anaknya Ismail. Mimpi para Nabi bukanlah mimpi sebagaimana kita. Mimpi para Nabi adalah wahyu daripada Allah SWT.
Mendapat arahan itu, Nabi Ibrahim bergerak merentas padang pasir, daripada Palestin ke Makkah di Tanah Hijaz. Perjalanan yang bukannya pendek. Juga tidak mudah. Semata-mata untuk taat kepada Allah SWT, menyembelih anaknya sendiri.

Sampai sahaja di Makkah, kepada Ismail dia bertanya. Dan lihatlah apa yang Allah kisahkan akan jawapan seorang Ismail AS:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar Surah Assaffat ayat 102.

Ismail AS juga taat tanpa banyak bicara. Tanpa berdalih. Tanpa memberikan apa-apa alasan untuk meragukan ayahnya agar tidak melaksanakan perintah itu. Sedangkan, nyawanya adalah taruhan dalam hal ini.
Maka Ibrahim AS pun melaksanakannya. Namun apabila pisau yang tajam itu dilalukan pada leher Ismail AS, ia tidak mampu menyembelihnya. Menyangkanya tumpul, maka Ibrahim AS mengasahnya semula dan melakukan penyembelihan itu sekali lagi. Namun tetap gagal. Sekali lagi Ibrahim AS mengasahnya. Namun untuk kali ketiga, penyembelihan tetap gagal dilakukan.

Ketika inilah Allah SWT mengiktiraf ketaatan keluarga itu. Dan menggantikan Ismail AS dengan seekor Qibasy.

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;” Surah Assaffat ayat 103-107.

Dan ketaatan Ibrahim AS ini diiktiraf oleh Allah SWT, Ibrahim AS diangkat setinggi-tinggi darjat, bahkan dia dipuji oleh langit dan bumi. Ibrahim AS terkenal sebagai bapa para nabi, juga menjadi rebutan oleh kaum yahudi dan nasrani yang hendak menyatakan bahawa Ibrahim AS daripada kalangan mereka.

“Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh. Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.” Surah Assaffat ayat 108-113.

Apa yang ditunjukkan pada kisah keluarga ini?

Pengorbanan. Mengorbankan apa yang diri kita sayangi, untuk mentaati perintah Allah SWT. Itu yang saya hendak fokuskan dalam kisah keluarga Ibrahim. Mari kita lihat dengan lebih teliti, agar kita lebih merasai.
Pengorbanan pertama: Nabi Ibrahim meninggalkan isteri dan anaknya di tanah gersang. Siapakah yang senang dengan keadaan demikian? Sebagai manusia, Nabi Ibrahim juga berat melakukannya. Namun itu adalah perintah Allah SWT, maka Nabi Ibrahim mengorbankan perasaannya, kepentinganya, kesenangannya, kerana yakin bahawa, tiadalah daripada perintah Allah SWT itu satu yang sia-sia.

Pengorbanan kedua: Nabi Ibrahim sanggup merentas padang pasir daripada Palestin ke Makkah, satu perjalanan yang jauh, untuk menyembelih anaknya. Sekiranya kita lihat semula, apakah itu? Bersusah payah merentas padang pasir panas, yang jauh, yang sukar, semata-mata untuk menyembelih anak sendiri? Tetapi Nabi Ibrahim melaksanakannya. Padang pasir yang panas, perjalanan yang jauh, menjadi kecil padanya dalam mentaati Allah SWT. Kerana keyakinan bahawa, tiadalah daripada mentaati Allah itu, selain kebaikan sahaja.

Pengorbanan ketiga: Melihat di sisi Ismail AS pula, anak itu tidak berdalih langsung semasa dinyatakan berkenaan penyembelihannya. Bahkan dia taat, dan menyuruh Ibrahim AS mentaatinya. Mengapa? Mengapa begitu sekali gaya Ismail AS? Hingga sanggup mengorbankan diri sendiri? Kerana itu adalah perintah Allah SWT. Kerana keyakinan bahawa Allah tidak akan mengarahkan sesuatu yang sia-sia, maka dia sanggup mengorbankan dirinya untuk mentaati Allah SWT.

Pengorbanan keempat: Satu watak yang tersembunyi dalam kisah ini adalah Hajar. Adakah Ismail AS itu, terbentuk taat begitu sahaja secara tiba-tiba? Tidak. Pastinya ada didikan yang membentuk Ismail menjadi sedemikian rupa. Itulah dia didikan tangan seorang Hajar. Bayangkan, Hajar, seorang isteri yang ditinggalkan di tanah gersang, dan dialah yang membesarkan Ismail. Namun, dia tidak membesarkan Ismail menjadi seorang yang membenci bapanya, bahkan membesarkan Ismail menjadi orang yang amat taat kepada Allah SWT. Ini menandakan Hajar rela dengan segala apa yang dilakukan Ibrahim AS. Kerana apa? Kerana Hajar tahu, bahawa Ibrahim AS mentaati Allah SWT. Dan Hajar mengetahui bahawa, mentaati Allah SWT tidaka akn emmberikan apa-apa melainkan kemuliaan.

Pengorbanan kelima: Ibrahim AS benar-benar menyembelih Ismail AS. Dan Ismail AS tidak menunjukkan pelarian di situ. Mereka benar-benar melaksanakannya. Bahkan bersungguh-sungguh dalam mentaati perintah Allah SWT yang satu itu. Mengenepikan segala kepentingan diri, kesenangan hati dan kehendak peribadi. Semuanya untuk mentaati Allah SWT. Mereka melaksanakannya, semampu diri mereka. Bersungguh-sungguh.

Lima pengorbanan ini, kita perhatikan semula.

Semua ini didirikan atas apa?

Atas satu perkara. Ketaatan kepada Allah SWT.

Bagaimanakah kita boleh taat kepada Allah SWT?

Dengan keimanan kepadaNya.

Kekuatan untuk mampu berkorban hakikatnya, bergantung kepada keimanan kita kepada Allah SWT. Keimanan kita kepada Allah SWT itulah yang memprodus kekuatan untu mengangkat perintahNya menjadi sesuatu yang besar dalam kehidupan kita melebihi kepentingan diri kita sendiri..

Inilah yang Allah mahu kita lihat, dan Aidiladha itu bukan semata-mata perayaan.
Tetapi ia seakan-akan satu peringatan tahunan.

“Apakah kamu wahai hamba-hambaKu, sudah bersedia untuk mengorbankan hawa nafsumu?”

Apa yang kita telah korbankan untuk Allah, untuk Islam?

Satu soalan mudah. Bagaimana kita menjawabnya?

Apa yang kita telah korbankan untuk Allah, untuk Islam dalam kehidupan kita ini?
Apabila bertemu perintah Allah dengan tuntutan hawa nafsu kita, yang mana satukah kita korbankan?
Apabila datang perintah Allah SWT, dengan kepentingan peribadi kita, yang mana satukah yang kita utamakan?

Bila datang perintah Allah SWT, dengan perintah selain daripada Allah SWT, yang mana satukah akan kita taatkan?

Kita perhatikan kembali kehidupan kita. Kita perhatikan kembali rutin kita.
Apa?

Aidiladha semakin hampir. Dan kamu lihatlah apa yang telah kamu korbankan?

Penutup: Yang berkorban itu, Allah bayar

Mengambil ‘ending’ kisah Keluarga Ibrahim tadi, Allah membayar segala pengorbanan keluarga itu dengan kemuliaan dan darjat yang tinggi tidak terhingga. Allah membalas ketaatan hamba-hambaNya, dan bukan membiarkan mereka begitu sahaja.

Di sini, ia merupakan satu motivasi buat kita, bahawa mengorbankan kepentingan diri dalam mentaati Allah SWT itu bukanlah sia-sia.

Panas sedikit, rimas sedikit pakai tudung, bukan sia-sia.

Nampak kuno sikit, berpakaian kemas dan tidak koyak-koyak, dedah-dedah, bukan sia-sia.

Korban masa sikit, untuk buat amal kebaikan dan amal bermanfaat, bukan sia-sia.

Buat baik pada orang, walaupun orang tak baik pada kita, bukan sia-sia.

Korban wang, sedekah pada yang memerlukan, bukan sia-sia.

Mereka yang mengorbankan nyawa, dalam menegakkan agama Allah SWT, bukan sia-sia.

Itulah keimanan kita.

Kita belajar daripada keluarga Ibrahim AS.

Namun siapakah yang memerhatikan?

Dan yang memerhati, siapakah yang mempraktiskannya?

Aidiladha semakin hampir.

Apakah tahap kesediaan berkorban untuk Allah kita?

No comments:

Nak cari apa?

yang selalu duk click

::wanita::

DUHAI PUTERIKU.........
Keremajaanmu menyegarkan pandangan,
melimpahkan nyaman pada malam..
Cahaya keriangan di wajahmu adalah kilauan senjata yang menawan....
Madu yang menitiskan sarinya meresapkan manisnya dari bibir langsung ke hati adalah suara-suara lembut sang gadis...
Tertib dan sopanmu bagai hembusan angin yang menyamankan....

PUTERIKU.....
Dengan keremajaanmu...
kau bisa menakluk dunia dalam lalai dan leka
Tanpa kesedaran ....

DUHAI PUTERIKU....
Balikkanlah cermin di hadapanmu barang seketika ...
palingkanlah wajahmu barang sejenak...
Berkatalah dalam diri...
Kau bukan dilahirkan sebgai penggoda yang melekakan dunia...
Kesegaran dan kejelitaanmu adalah fana belaka..
Balutan gemerlap permata intan hanyalah hiasan...
Dongak dan lihatlah kerdipan bintang-bintang nun di langit...
Sedarlah...hidupmu ini hanya cebisan dari erti kehidupan...
Selamilah dasar hatimu dan bisiklah pada diri
Alangkah hinanya roh kita tanpa hiasan apa-apa...

PUTERIKU...
Berfikirlah untuk menjadi insan yang berguna agar seisi dunia merasakan rahmat kehadiranmu...
WAHAI PUTERI MUSLIMAH SEJATI ...
Salutilah tubuhmu dengan iman...
kerana ia sangat manis pada pandangan jua perhiasan...
Usah merasa resah lalu menyolek diri ...
inginkan wajah yang lebih indah...
Bersyukur dan berbahagialah dengan apa yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT...

DUHAI MUSLIMAH TERPUJI...
Renung dan resaplah kekaguman serta kekuatan keyakinan bahawa hayatmu setiap detik di bawah naungan Allah SWT...
Kecintaan Ilahi melimpah dan melaut di segenap penjuru alam walaupun pada yang alpa erti kehidupan...

GADISKU...
Bersihkanlah hatimu...
kemanisan iman sukar dikecapi tanpa janji Tuhan...
Jannah itu bukan mimpi tapi realiti...
Dunia hanyalah persinggahan...
akhirat itu kekal abadi....

Loading...

::Keindahan BersamaMu:: KBM

ssq